REMBAU – Seorang pekerja bengkel besi maut selepas motosikal ditunggang merempuh dua buah kenderaan yang membuat pusingan U di Jalan Seremban- Tampin berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Shamsul Rizal Ahmad Mustafa, 45, beralamat di Sungai Beringin, Pedas disahkan meninggal dunia susulan mengalami kecederaan parah di kepala.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali, kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan dua buah motosikal jenis Suzuki Panther yang ditunggang mangsa yang maut serta motosikal jenis Honda EX-5.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika motosikal mangsa sedang bergerak terus di lorong kanan, dari arah Seremban menuju ke Rembau. Apabila sampai di lokasi, motosikal ditunggang mangsa telah terlanggar motosikal Honda EX-5 ditunggangi lelaki berusia 21 tahun yang sedang bergerak membuat pusingan U dari arah bertentangan dan masuk ke laluan mangsa.
“Motosikal mangsa kemudiannya terkena MPV dipandu seorang lelaki yang juga berusia 21 tahun yang juga sedang bergerak membuat pusingan U menyebabkan penunggang Suzuki Panther mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan maut oleh paramedik yang tiba di lokasi,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE