fbpx

Malaysia gesa segerakan perjanjian gencatan senjata, akses tanpa halangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wisma Putra.

PUTRAJAYA-Malaysia menekankan keperluan mendesak pelaksanaan penuh dan segera bagi semua fasa perjanjian gencatan senjata, termasuk pertukaran tebusan dan tahanan seperti yang telah dipersetujui oleh semua pihak.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pihak perlu mematuhi syarat-syarat dipersetujui untuk menghentikan konflik yang berterusan.

Katanya, ia bagi membolehkan penyampaian bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan ke Gaza tanpa sebarang halangan.

“Sebarang kelewatan atau penyimpangan daripada perjanjian ini hanya akan memburukkan krisis kemanusiaan dan menjejaskan usaha berterusan ke arah
keamanan yang adil dan berkekalan.

“Situasi kemanusiaan di Gaza kekal kritikal, dengan lebih dua juta penduduk memerlukan bantuan segera,” katanya hari ini.

Katanya, bantuan kemanusiaan harus disalurkan kepada mereka yang terkesan tanpa sebarang sekatan atau syarat politik.

“Malaysia menggesa semua pihak untuk memastikan kelancaran penghantaran
bantuan selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) serta Resolusi 2735 (2024) Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB).

“Bantuan kemanusiaan harus kekal bersifat neutral, tidak berpihak, dan bebas daripada
campur tangan politik,” jelasnya.

Malaysia turut menegaskan keperluan dalam usaha berterusan masyarakat antarabangsa bagi memastikan gencatan senjata membawa kepada penyelesaian mampan dan menjunjung hak serta maruah rakyat Palestin.

“Jalan ke arah keamanan yang berkekalan harus merangkumi penamatan sekatan dan kependudukan serta penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

“Malaysia juga terus menyokong hak Palestin untuk menjadi anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI