BANGKOK – Sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Mae Sot, wilayah Tak disamun seorang lelaki yang menyamar menjadi penghantar makanan, lapor laman berita Thaiger semalam.
Dalam kejadian itu, suspek yang membawa senjata api melarikan barangan kemas bernilai kira-kira 4.7 juta baht (RM620,000) dalam masa kurang satu minit.
Timbalan Superintendan (Siasatan) Balai Polis Mae Sot, Leftenan Kolonel Polis Sarayut Khongthong berkata, pihaknya menerima laporan rompakan di cawangan Kedai Emas Orasa yang terletak dalam pusat beli-belah Lotus’s.
“Pasukan penyiasat Balai Polis Mae Sot berusaha untuk mengenal pasti identiti suspek yang dirakam menerusi kamera televisyen litar tertutup (CCTV),” katanya.
Sebelum rompakan, suspek tiba bersendirian dengan menaiki motosikal dan meletakkan kenderaannya berhampiran pintu masuk pusat beli-belah tersebut.
Suspek kemudian mengancam pekerja dan pelanggan menggunakan pistol, menyebabkan mereka panik dan melarikan diri.
Setelah rompakan selesai, suspek melarikan diri ke arah jalan Mae Sot-Tak, manakala polis masih memburunya. – AGENSI