SHAH ALAM – Cakna akan senario sebilangan penyanyi yang berdepan kecaman netizen sehingga menjadi mangsa buli siber, Ratu Rock Malaysia Ella menasihatkan mereka agar bersedia dari pelbagai segi kerana itu harga perlu dibayar menjadi orang popular.
Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 59, berpendapat, tiada gunanya melayan perasaan berkurung di rumah disebabkan kata-kata nista netizen.
“Sebelum seseorang penyanyi itu ingin berjinak-jinak masuk dalam industri muzik, dia kena be prepared (bersedia).
“Tak boleh layan emosi, duduk rumah (sebab kecaman netizen), mengapa? Kalau betul nak buat sesuatu, you have to face it (berani berdepan dengannya).
“Itu pendapat sayalah. Kalau nak layan emosi, sampai bila? Saya pasti dia pun tak nak duduk di suatu tempat sahaja, nak terus terbang tinggi sebagai seorang pemuzik. Layan emosi sangat, memang tak pergi mana-mana,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis sambutan ambang Ramadan Ella bersama anak yatim rumah bakti Nur Syaheera, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, pelantun lagu Kesal itu percaya, tidak semua yang dikerjakan dalam karier seni akan berjalan seperti dirancang dan itu yang menyebabkan kritikan dan kecaman khalayak.
“Suatu benda itu terjadi tanpa kita rancang. Kadang-kadang kita akan dapat kecaman. Seseorang artis itu tak nak dikecam, tapi buat benda yang akan dikecam.
“Kena kuatlah terutama zaman media sosial sekarang yang tiada sempadan. Macam saya sendiri, kalau dikecam dan benda itu tak betul, saya biarkan berlalu. Kalau ada masalah, kita berbincang dan perbaiki keadaan, insya-Allah,” ujar Ella.
Ella sebelum ini pernah bertindak sebagai mentor kepada penyanyi Aina dalam program realiti nyanyian, Mentor Legend pada 2014 sehingga dinobatkan sebagai naib juara rancangan terbabit.
Terdahulu, media melaporkan Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 31, mengakui terguris dengan kecaman berterusan daripada netizen susulan persembahan pada malam kemuncak AJL 39, baru-baru ini.
Keadaan itu membuatkannya menangis dan berkurung di rumah selama seminggu. – KOSMO! ONLINE