BAKAT lakonan Ummi Nazeera tidak perlu diperdebatkan. Kekuatannya semestinya watak air mata dan itu akan dilunaskan dengan cemerlang.
Masakan tidak, apa sahaja watak yang dilakonkan pasti akan menjadi buah mulut ramai. Bukan dikecam sebaliknya pujian yang membanjiri pemilik nama penuh Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin itu.
Namun, jauh di sudut hati aktres berkenaan, tersimpan hasrat untuk mencuba karakter berbeza, lari daripada babak air mata yang sering dilakukannya sebelum ini.
Menurut Ummi, bukan bosan sebaliknya mahu mencabar kemampuan diri sekali gus membuktikan lakonannya tidak tertumpu pada satu sisi sahaja.
“Selepas tamat penggambaran Teratak Kasih Salina untuk slot Samarinda TV3 bulan lalu, saya pilih untuk berehat selama tiga hingga empat bulan sehingga Jun depan.
“Kemudian insya-Allah akan kembali aktif dan menjadi lebih selektif dalam menerima sebarang tawaran watak supaya tak sama dengan yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Saya rehat sebab selepas Andai Tiada Dia (Astro), saya hanya cuti seminggu sebelum masuk ke set penggambaran Teratak Kasih Salina.
“Badan dan otak saya sangat letih sebab watak dalam dua drama itu sangat berat, jadi saya nak kembali dengan sesuatu yang berbeza serta lebih segar,” katanya kepada HibGlam pada sidang media program Ramadan Raya 2025 (RaRa 2025) Indahkan Memori Media Prima baru-baru ini.
Lari watak klise
Mengulas lanjut keinginan untuk mencuba watak lain selain heroin air mata yang dilabel padanya sebelum ini, Ummi berkata, dia mahu menyelongkar sisi berbeza pada dirinya sebagai pelakon.
Katanya, kekerapan mendapat watak yang sama menghapuskan rasa keterujaan dalam dirinya sekali gus boleh memberi kesan pada cara dia menyampaikan sesebuah karakter.
“Saya nak cari sesuatu berbeza sebab pengulangan watak sama boleh menghilangkan keterujaan dalam diri:
“Saya pula jenis kalau teruja akan pergi kelas lakonan untuk kupas lagi tentang watak tetapi bila dapat karakter yang lebih kurang, saya jadi kurang seronok.
“Kalau tak teruja, macam mana nak hidupkan karakter itu. Sebab itu saya kejar sesuatu yang berbeza selain mahu nak jadi inspirasi daripada watak itu,” jelasnya.
Ditanya tentang watak impiannya, dia memberitahu semuanya bergantung kepada jalan cerita sesebuah naskhah.
“Watak yang saya nak adalah perlu ada jalan cerita yang kuat.
“Kemudian saya nak watak wanita balas dendam seperti karakter aktres Korea, Song Hye-kyo dalam drama The Glory atau Gadis Kretek lakonan Dian Sastrowardoyo,” kongsinya.
Tidak kisah distereotaip sebagai pelakon air mata, Ummi bagaimanapun mahu persepsi orang ramai itu akan berubah kepada karakter lain pula.
“Saya okey distereotaip sebagai pelakon air mata dan terimanya sebagai satu yang positif cuma saya harap akan distereotaipkan untuk watak lain pula selepas ini.
“Usia saya pun sudah mencecah 35 tahun dan pastinya mahu mencari karakter berbeza. Penat bawa watak berat yang sama, itu belum lagi alami kecederaan pada badan,” ujarnya.
Tambahnya, dia juga mengimpikan karakter yang membawa mesej positif dari permulaan jalan cerita selain mahu terus mengangkat martabat wanita dalam lakonannya.
“Sebenarnya semua watak ada air mata tetapi saya nak yang berbeza, bukan wanita yang asyik dianiaya dan lemah sahaja.
“Saya mengejar karakter dan naskhah yang papar kehebatan wanita itu sejak awal cerita. Dari awal sudah hantar mesej yang tepat bagaimana wanita itu sepatutnya jadi.
“Namun, saya tak terkilan masih ditawarkan watak sama sebaliknya bersyukur dengan kepercayaan pengarah cuma sasaran ketika ini ialah mahu mencuba sesuatu yang lain,” tuturnya yang akan memberi fokus penuh pada keluarga sepanjang bulan Ramadan.