KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri direman kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun sehingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Kepong, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang pegawai perubatan berusia 37 tahun kira-kira pukul 7.30 pagi.
Ujarnya, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pengasuh wanita.
“Hasil bedah siasat mendapati terdapat kira-kira 20 kecederaan iaitu di kepala, badan, tangan dan kaki mangsa yang dipercayai akibat hentakan benda tumpul.
“Susulan itu, pihak kami menahan pengasuh dan suaminya yang masing-masing berusia 25 tahun bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dijaga oleh wanita berkenaan sejak 21 Januari lalu dengan bayaran RM800 sebulan.
“Mangsa tinggal bersama pasangan berkenaan dan hanya dihantar oleh ibunya yang berusia 27 tahun sebulan sekali ekoran bekerja secara syif sebagai pegawai pemasaran.
“Siasatan juga mendapati ibu bapa mangsa telah bercerai,” jelasnya.
Tambahnya, suspek lelaki bekerja sebagai penunggang p-hailing manakala isterinya tidak mempunyai pekerjaan tetap selain mengasuh mangsa.
“Hasil saringan ujian air kencing, kedua-dua suspek negatif dadah,” katanya.
Rusdi berkata, kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE.