JERANTUT – “Alhamdulillah kalau sudah rezeki tidak ke mana.”
Demikian ujar isteri pemilik Murtabak Manja, Nurul Shahirah Abdullah, 43, selepas tular isu pelanggan tidak membuat bayaran pembelian 50 keping martabak berharga RM400 kelmarin.
Nurul Shahirah berkata, dia dan suami, Amizan Jonit, 49, menganggap isu pembelian martabak yang tidak dibayar itu sudah selesai dan tidak perlu dikecohkan lagi.
Katanya, sebaliknya dia berterima kasih kepada pelanggan berkenaan yang membuat pembayaran dan bersyukur walaupun lewat menerima bayaran.
“Pelanggan itu terkejut dan sedih setelah membaca berita tular di Facebook kerana martabak tersebut sudah diberi kepada orang untuk juadah berbuka puasa.
“Pelanggan berkenaan turut memohon maaf atas kekhilafannya, malah akan datang semula untuk membuat tempahan kerana ramai orang di tempat tinggalnya sukakan martabak Manja,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan, tular di Facebook ‘Jerantut Viral’ mengenai seorang peniaga martabak di Bazar Ramadan Bandar Jerantut kerugian apabila tidak menerima bayaran melalui pembayaran kod QR.
Menceritakan kejadian, Nurul Shahirah berkata, seorang lelaki bersama isterinya datang ke gerai Murtabak Manja di bazar Ramadan tersebut untuk membuat tempahan martabak sebanyak 50 keping sejurus gerainya mula beroperasi pada pukul 3 petang.
Lelaki itu kemudiannya datang semula mengambil martabak yang ditempah kira-kira pukul 7 petang hari yang sama dan melakukan pembayaran secara mengimbas kod QR.
Katanya, dia menyedari pembayaran sebanyak RM400 itu tidak berlaku selepas berbuka puasa lalu menyemak semula akaun pembayaran dan mendapati tidak berlaku sebarang transaksi.
“Pekerja yang terlibat dengan transaksi pembayaran berasa amat bersalah terus memuat naik dalam Facebook ‘Jerantut Viral’ kerana bimbang kerugian yang dialami.
“Mujur pembeli tersebut sedar setelah membaca laman sosial Facebook tersebut yang tular mengenai martabak yang dibeli tidak dibayar lagi dan melakukan semula transaksi pembayaran kira-kira pukul 7 petang semalam,” katanya. – KOSMO! ONLINE