PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan tidak pernah menghantar mana-mana pautan berkaitan urusan lesen memandu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada orang awam.
Ini berikutan, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada orang awam berhubung SMS yang mengandungi pautan berkaitan lesen memandu.
“JPJ ingin menjelaskan bahawa pihaknya mengenalpasti bahawa SMS yang dihantar menggunakan nama MyJPJ adalah mengandungi pautan ‘pishing’ untuk tujuan memperdaya orang awam.
“Justeru, orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan mana-mana platform yang menawarkan perkhidmatan JPJ yang tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, perkara itu bagi mengelakkan sebarang penipuan dan kerugian.
“Sebaliknya orang ramai perlu merujuk atau menghubungi pihak JPJ terlebih dahulu untuk maklumat lanjut.
“JPJ sentiasa berusaha dan komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam terutamanya pelanggan,” katanya.
Sebarang aduan rasmi boleh disalurkan kepada pihak JPJ menerusi Portal Aduan Rasmi JPJ – https://jpj.spab.gov.my/. – KOSMO! ONLINE