ALOR GAJAH – Polis menahan empat individu dipercayai terlibat kegiatan mencuri kabel bawah tanah di sekitar daerah ini membabitkan kerugian berjumlah kira-kira RM60,000 sejak dua bulan lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang itu, suspek terdiri tiga lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 34 tahun diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Alor Gajah di sebuah inap desa di Kuala Sungai Baru di sini pada 27 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kesemua suspek berasal dari Lembah Klang dan menyewa sebuah inap desa dan dua buah kereta jenis Perodua Alza serta Myvi bagi mengaburi mata masyarakat.
“Kumpulan ini memilih lokasi tersorok dan tidak dilalui orang ramai sebelum bertindak mencuri kabel pada tengah malam hingga awal pagi.
“Hasil soal siasat kesemua suspek mengaku terlibat dengan enam kes kecurian kabel di sekitar Alor Gajah dan dua kes di Selangor. Kesemua suspek adalah rakan sejenayah dan dipercayai terdapat beberapa lagi suspek yang masih bebas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah (IPD) di sini, hari ini.
Tambah Ashari, polis merampas gelung kabel, alat pemotong, dua buah kereta, telefon pintar pelbagai jenama dan satu paket plastik lutsinar berwarna kelabu mengandungi batu kristal disyaki dadah jenis syabu. – KOSMO! ONLINE