RANTAU PANJANG – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan untuk menyeludup anak pokok durian belanda dan pokok bonsai hitam yang dianggarkan bernilai hampir RM2.1 juta dari Thailand selepas menahan dua buah lori di Kampung Kedap dan Kampung Kubang Rambutan di sini semalam.
Kedua-dua buah lori dipandu lelaki berusia 30 dan 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 hingga 11 malam semasa anggota PGA menjalankan Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, dua buah lori itu didapati dipandu dalam keadaan mencurigakan di dua lokasi berasingan.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam kedua-dua buah lori itu membawa kepada penemuan sebanyak lebih 15,000 anak pokok durian belanda dan 23 pokok bonsai hitam yang dipercayai diseludup dari Thailand.
“Siasatan lanjut mendapati, tanaman tersebut disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit.
“Kedua-dua pemandu lori itu dipercayai berperanan sebagai penghantar tanaman tersebut ke pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM2.1 juta.
Menurutnya, kedua-dua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Kelantan dan kes disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) Seksyen 5. – KOSMO! ONLINE