SHAH ALAM – Selepas mendakwa perniagaan muruku miliknya dianiaya sebuah akademi latihan keusahawanan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM630,000, penyanyi Noraniza Idris tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam, Selangor hari ini.
Noraniza, 57, mula menyedari penipuan berkenaan apabila tidak menerima bayaran untuk sekitar 20,000 pek produk makanan ringan yang telah dibekalkan.
“Saya terima pelawaan mereka kerana ingin membantu. Lagi pun memang selama ini saya sentiasa menyokong aktiviti amal kebajikan.
“Bagaimanapun, niat baik telah dipermainkan apabila pihak terbabit melanggar perjanjian dengan hanya membayar sekitar RM3,000 sahaja. Cara bayaran pun dibuat berperingkat.
“Selepas menyedari ditipu sejak Jun tahun lalu, saya sering menuntut bayaran daripada pihak mereka namun sampai ke hari ini pelbagai alasan diberikan sehingga nilai kerugian yang saya tanggung mencecah RM630,000.
“Kerugian tersebut merangkumi mesin khas pembuatan muruku, percetakan, pembungkusan tertera logo syarikat tersebut serta kos pembayaran pekerja,” katanya Kosmo! Online ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di sini, pagi tadi.
Kesan daripada penganiayaan tersebut, dia terpaksa merehatkan lebih 10 orang pekerja bagi mengurangkan kos.
“Bagi memenuhi permintaan syarikat terbabit saya perlu menambah kakitangan. Namun apabila terjadi begini, daripada 20 pekerja, kini hanya tinggal empat orang sahaja.
“Saya tak boleh tutup perniagaan ini sebab ini bisnes keluarga.
“Jadi mahu atau tidak saya terpaksa teruskan kerana kami masih lagi mendapat permintaan atas talian,” ujarnya.
Pelantun lagu Ngajat Tampi itu memaklumkan emosinya dan keluarga lebih terganggu mengenangkan hasil usaha membangunkan syarikat yang dibangunkan sejak setahun lalu.
“Apabila keadaan ini berlaku, saya kasihan tengok keadaan anak-anak kerana mereka sanggup tak tidur dan berjaga malam untuk pastikan kilang ini beroperasi.
“Saya nekad buat laporan polis ini sekurang-kurangnya kami dapat hak kami semula serta membantu orang lain supaya jangan terpedaya dengan orang begini.
“Saya harap mereka tampil memberi kenyataan, agar syarikat lain pun boleh lebih berhati-hati,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE