fbpx

Anak Datuk Geng Adik Mamat didakwa merompak, miliki pistol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KLEMENT RAJ (dua dari kiri) bersama Mohamad Haidar (tengah) dan Muhammad Zul Syamsi(dua dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan merompak dan memiliki pistol. Foto RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki anak kepada individu berpangkat Datuk antara tiga ahli Geng Adik Mamat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini kerana melakukan rompakan berkumpulan serta memiliki senjata api, bulan lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Mohamad Haidar Abdullah, 34, dan N. Klement Raj, 38, dan Muhammad Zul Syamsi Datuk Johari, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan yang dibaca secara bersama dan berasingan.

Mereka membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim serta Majistret A. Shaarmini.

Berdasarkan kertas pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Mohamad Haidar dan Klement Raj secara bersama melakukan rompakan berkumpulan terhadap Hon Chong Seng melibatkan wang tunai RM3,500, telefon bimbit Iphone XS Max, Iphone 13 Pro Max, kad ATM, lesen memandu, kad pengenalan dan dompet di sebuah kedai kopi di Taman Sentosa, di sini pada pukul 5 pagi, 14 Februari lalu.

Di mahkamah sama, Mohamad Haidar turut dituduh memiliki sepucuk pistol jenis Sigsauer beserta kelopak dan sarung berwarna hitam di sebuah rumah di Jalan Rahmat, Kampung Melayu Majidee, di sini pada pukul 1.05 petang pada 17 Februari lalu.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Mohamad Haidar dan Klement Raj turut berdepan pertuduhan bersama melakukan rompakan berkumpulan terhadap Chem Sooi Tea melibatkan wang tunai RM650, kad ATM dan kad pengenalan di sebuah kedai kopi di Taman Sentosa, di sini pada pukul 5 pagi, 14 Februari lalu.

Mahkamah ini membenarkan setiap tertuduh dijamin RM10,000 seorang manakala tarikh sama iaitu 10 April depan ditetapkan untuk sebutan semula dan serahan dokumen.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, Muhammad Zul Syamsi mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memiliki sepucuk senjata api tiruan, bulan lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI