JOHOR BAHRU – Sebanyak 86 pusat perjudian yang beroperasi secara haram di seluruh negeri ini ‘bergelap’ selepas bekalan elektrik ke premis berkenaan dipotong menerusi Operasi Mega yang dijalankan pihak berkuasa negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, operasi bersepadu pihaknya dengan TNB serta pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dijalankan selama dua hari iaitu pada 25 dan 26 Februari lalu.
Menurut beliau, selain 86 premis yang dipotong bekalan elektrik, pihaknya turut membatalkan lesen perniagaan lapan premis terlibat aktiviti tersebut.
“Operasi ini fokus kepada usaha membanteras kegiatan judi dalam talian, loteri awam tanpa lesen serta lain-lain aktiviti perjudian secara total,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah M. Kumar, tindakan dibuat mengikut Seksyen 4A(a), Seksyen 4B(a); Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 21A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
Sementara itu, beliau memaklumkan sejak Januari 2024 hingga Februari 2025, sebanyak 470 premis perjudian haram telah dipotong bekalan elektrik manakala 88 lesen perniagaan telah dibatalkan. – KOSMO! ONLINE