ALOR SETAR – Lelaki orang kurang upaya (OKU) mental berkemungkinan mengamuk selepas ibunya yang berusia 68 tahun dikatakan menutup suis televisyen dan memintanya makan ubat penenang dalam kejadian di Kampung Tok Keling, di sini semalam.
Menurut jiran, Mohd. Khalil Ismail, 48, dia difahamkan kejadian berlaku pada waktu sahur dan ketika itu suspek didapati masih menonton televisyen dari malam.
“Mungkin sebab itu suspek mengamuk lalu memukul ibunya atau mungkin ada tekanan lain yang dialami suspek, saya tidak tahu,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut, di sini hari ini.
Katanya, dia difahamkan mangsa yang dikenali sebagai Tok Chah dipukul sebelum mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terbakar.
“Selepas kejadian itu, anak perempuan suspek berlari keluar untuk meminta tolong, dipercayai ke rumah bapa saudaranya sebelum polis tiba.
“Anak suspek juga ada datang ke kawasan berhampiran rumah dan memaklumkan kepada ibu saya tentang kejadian. Ibu saya biasa jumpa dan berbual dengan Tok Chah,” ujarnya.
Menurutnya, suspek dikatakan pernah bekerja sebagai pegawal keselamatan dan dalam pengetahuannya, suspek tidak pernah mengamuk sehingga mencederakan orang lain.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang wanita warga emas maut dalam keadaan tragis apabila mayatnya ditemukan terbakar dipercayai akibat perbuatan anak lelakinya sendiri di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, di sini pada pagi semalam. – KOSMO! ONLINE