KUALA LUMPUR – Enam negeri termiskin tidak boleh hanya mengharapkan peruntukan besar daripada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya perlu memilik kerangka ekonomi yang baik dan mesra perniagaan di negeri masing-masing.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, peruntukan yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada enam negeri termiskin iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sebenarnya jauh lebih banyak berbanding negeri lain.
Bagaimanapun, ujar beliau, perlu ada tanggungjawab bersama dipikul oleh kerajaan negeri dan hubungan seperti itu yang boleh menarik pelaburan serta perniagaan ke negeri terbabit.
“Kalau semata-mata untuk menutup jurang ini (jurang kemiskinan antara negeri) adalah permohonan untuk mendapatkan peruntukan yang besar daripada Kerajaan Persekutuan, itu telah berlaku dari tahun 2021 dan diteruskan hingga sekarang.
“Tetapi tiada tanda-tanda jurang ini dapat ditutup dengan baik di beberapa buah negeri, kecuali saranan saya (kepada) kerajaan negeri itu disambut baik dan ada kerangka ekonomi dan mesra perniagaan yang perlu diusahakan secara bersama,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini..
Terdahulu, Rafizi berkata, pelaksanaan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) kini dipecahkan kepada dua kategori.
Menurut beliau, projek bernilai tinggi dengan kos melebihi RM300 juta, permohonan hanya boleh dikemukakan setiap dua tahun sekali bermula rancangan pembangunan antara 1 hingga 31 Mac 2025.
“Sekiranya tidak dikemukakan kali ini, peluang seterusnya adalah pada 2027,” katanya.
Jelas beliau, bagi projek bernilai di bawah RM300 juta boleh dikemukakan setiap tahun menerusi ‘rolling plan’ seperti biasa.
“Tujuan pisahkan begini kerana satu faktor yang menyumbang pada pelaksanaan projek yang cacamarba kerana perancangan dibuat tidak berpadanan dengan saiz projek,” katanya.
Beliau menjawab soalan asal Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai penambahbaikan bagi memperkemas dan memperkasa proses pelaksanaan projek di bawah RMKe-13. – KOSMO! ONLINE