KLUANG – Seorang wanita ‘pergi’ menghadap Sang Pencipta ketika umat Islam seluruh dunia menunaikan hari pertama rukun islam ketiga selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 86, Jalan Kota Tinggi – Kluang di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, mangsa, Zaiton Md Resad, 52, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan tersebut berlaku ketika mangsa bersama dua lagi penumpang menaiki kereta Proton Saga yang dipandu Muhamad Yusri Jaladeri, 41, dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi ke bandar Kluang.
Katanya, sebuah lagi kereta iaitu Perodua Axia yang dipandu seorang jururawat, Siti Farhana Isa, 39, dari arah bertentangan dipercayai ke HEBHK untuk bertugas.
“Sebaik sampai di lokasi kejadian, kereta Proton Saga dipandu Muhamad Yusri dikatakan telah hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum terbabas memasuki jalan bertentangan.
“Kereta yang dipandu Siti Farhana bagaimanapun tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku pertembungan antara kedua-dua kereta,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Bahrin berkata akibat kejadian itu, Zaiton disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HEBHK, manakala empat lagi mangsa cedera parah.- KOSMO! ONLINE