KUALA PILAH – Seekor harimau kumbang jantan berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap harimau belang yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kampung Tumang, Johol, di sini pada pukul 7.40 pagi tadi.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, haiwan seberat 47.5 kilogram (kg) itu merupakan harimau kumbang pertama yang memasuki perangkap pada tahun ini.
Menurutnya, perangkap harimau belang digunakan setelah tiga unit perangkap harimau kumbang yang berbeza digunakan di kawasan tersebut dalam tempoh setahun gagal memerangkap haiwan tersebut.
“Sebelum ini harimau kumbang tersebut cuba memasuki perangkap yang mempunyai umpan kambing tetapi tidak berjaya kerana bersaiz besar.
“Sehubungan itu, kita terpaksa memasang perangkap harimau belang untuk memerangkap haiwan itu. Harimau kumbang tersebut telah berjaya ditangkap setelah mengambil masa lebih kurang tiga tahun,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE