KEMAMAN – Tiga termasuk dua remaja lelaki tersenyum lebar menyambut Ramadan dengan basikal baharu yang dihadiahkan pengurusan Masjid Titian Berayun, Kijal di sini menerusi program ‘King of Subuh Warrior’.
Pengarah Program, Wan Mohd. Redzuan Mohd Kamar berkata, Muhammad Aiman Khaiyiza Mohammad Khairul Azan, 13; Muhammad Ukail Uwais Mohd Khairuddin, 13; dan Muhammad Zakir Hadi Mohd, 9, dinobatkan pemenang setelah konsisten menunaikan solat subuh berjemaah di masjid tersebut selama 40 hari berturut-turut.
Beliau berkata, mereka juga menerima hadiah iringan lain berupa. piala, baucar penginapan, hamper dan sijil penghargaan.
“Program ‘King of Subuh Warrior’ dianjurkan bagi menarik golongan muda untuk mengunjungi masjid sekaligus melatih mereka mencintai ibadah sejak kecil lagi.
“Sambutan diterima bagi program dianjurkan bermula akhir bulan Januari lalu mendapat sambutan memberangsangkan daripada remaja dan kanak-kanak kampung ini,” katanya di sini hari ini.
Wan Mohd. Redzuan berkata, hadiah basikal terbabit sebagai menghargai kesungguhan remaja dan kanak-kanak terbabit istiqamah menunaikan solat subuh berjemaah di masjid.
Beliau berkata, ganjaran juga diberikan kepada peserta lain yang berjaya menunaikan solat subuh berjemaah di masjid berkenaan selama 10, 20 dan 30 hari.
“Kami harap ia dapat menjadi perangsang kepada generasi muda untuk terus memakmurkan masjid terutama pada bulan Ramadan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE