PETALING JAYA – Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang selepas melarikan diri dari rumah perlindungan.
Mangsa dikenali sebagai Thavamalar, kali terakhir dilihat berada di kawasan Jalan 12/6, Seksyen 12, Petaling Jaya pada 7.05 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Sharulnizam Ja’far berkata, laporan kehilangan diterima 5.13 petang semalam.
“Thavamalar berketinggian 159 sentimeter, berat 52 kilogram dan kulitnya berwarna coklat.
“Dia juga memiliki rambut panjang dan hitam; kening tebal dan bentuk badannya kurus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan kehilangan mangsa, polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan remaja ini untuk tampil membantu siasatan.
“Pihak polis sedang giat menjalankan usaha pencarian dan berharap kerjasama masyarakat dapat membantu dalam mengesan remaja ini secepat mungkin.
“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor ‘Ainaa’ Athira di talian 010-2762186 ,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.