TAPAH – Seorang ibu enam anak, Noor Suriawey Abu Bakar, 46, dari Kampung Sungai Kurong, di sini, tidak henti-henti meluahkan kesyukuran kerana telah lima tahun menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas daripada seorang usahawan pemurah.
Bantuan wang tunai RM100 dan barangan seperti beras, minyak masak, gula, garam serta kicap itu disumbangkan individu tersebut yang menetap di Kuala Lumpur dan tidak ingin dikenali.
Noor Suriawey yang juga orang kurang upaya (OKU) tangan dan kaki itu mengakui sukar untuk melakukan aktiviti seharian termasuk bekerja.
“Suami hanya kerja kampung dengan pendapatan tidak seberapa. Syukur ada bantuan ini yang dapat meringankan beban dan membeli barangan keperluan asas sepanjang Ramadan ini.
“Terima kasih orang baik. Lepaslah untuk juadah bagi bersahur dan berbuka puasa. Soal persiapan dan perbelanjaan Aidilfitri nanti cukuplah sekadar apa yang ada,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pemberian sumbangan itu diberikan kepada kira-kira 100 penerima terdiri warga emas, orang miskin dan ibu tunggal yang diuruskan serta diadakan oleh pengurusan Masjid Jamek Sungai Lesong, di sini.
Seorang ibu tunggal, Robeoh Sidan, 60, berkata, sumbangan itu membolehkannya menyediakan beberapa lauk masakan untuk berbuka bersama anak-anak dan cucu berbanding biasa.
“Ada individu baik yang memberi dan terima kasih kerana menggembirakan kami pada Ramadan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE