PETALING JAYA – Tiada usaha memperbaiki rumah tangga antara punca isteri kepada pelawak Shuk Sahar iaitu Fara Salleh memfailkan perceraian pada awal Februari lalu.
Menurut Fara, 33, suaminya hanya mementingkan hubungan persahabatan dengan kawan-kawan tanpa menghiraukan keadaannya yang sedang hamil lima bulan.
“Dia langsung tak tunjuk usaha mempertahankan hubungan kami dan disebabkan itu saya nekad mahu bercerai.
“Apa saya nampak dia lebih pentingkan silaturahim dengan kawan-kawan berbanding diri saya dan bayi dalam kandungan,” katanya.
Berkongsi lanjut, Fara yang sedang menunggu tarikh sebutan kes berharap Shuk dapat memberi kerjasama bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka tanpa ada gangguan pihak luar.
“Saya sudah selesai semua urusan perceraian dan sedang menunggu tarikh daripada mahkamah.
“Besar harapan saya supaya Shuk akan beri kerjasama dan kawan-kawannya tidak ganggu dalam proses perceraian ini,” ujarnya.
Sebelum ini, Fara mendakwa menjadi mangsa penderaan mental suaminya dan dikatakan tidak mengendahkan keadaannya sepanjang berada di hospital.
Terdahulu, Fara mengejutkan ramai apabila menyatakan kekesalan terhadap institusi perkahwinan seolah-olah memberi bayangan mengenai keberantakan rumah tangganya dengan Shuk yang belum pun mencecah setahun.
Fara dan pemilik nama lengkap Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 38, mendirikan rumah tangga pada November 2023 dan ini merupakan perkahwinan kedua pelawak itu.
Syuk sebelum ini pernah berkahwin dengan Rossa Sera namun bercerai pada 22 Mac 2023.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 9, dan Nur Assyifatu Aimi, 6 tahun. – KOSMO! ONLINE