PETALING JAYA – Selepas berbulan-bulan penat bekerja, penyanyi Ernie Zakri ingin meletakkan fokus menjadi suri rumah selama sebulan bersempena Ramadan.
Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, juga mahu berusaha menyediakan juadah berbuka puasa dan menjalani kegiatan ibadah bersama keluarga.
“Saya akan berada di rumah dalam dua minggu lebih sepanjang puasa kerana mahu habiskan masa bersama keluarga dan jadi suri rumah yang cantik pada bulan Ramadan.
“Niat saya mahu masak untuk keluarga setiap hari.
“Semestinya bulan ini bulan beribadah, apa sahaja kegiatan saya akan curi masa buat dengan keluarga,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditanya mengenai rutin sepanjang Ramadan, pelantun lagu Aura itu mahu berehat dan menumpukan masa bersama keluarga besarnya di rumah.
“Rutin saya lebih kurang orang lain juga, kalau tiada kerja saya akan berehat betul-betul di rumah.
“Ramadan kali ini lebih meriah sebab rumah saya ramai, apa sahaja aktiviti kami buat bersama,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, Ernie mahu anak sulungnya iaitu Nur Khawla Soleha menjalani aktiviti seperti kanak-kanak lain pada bulan puasa.
“Khawla anak yang sangat memahami. Tahun lepas berpuasa, kami ada berkunjung ke bazar Ramadan.
“Kali ini kami akan buat benda sama juga sebab saya nak Khawla jadi kanak-kanak normal.
“Saya nak dia rasa apa saya dan Syamel pernah lalui masa kecil-kecil dahulu,” jelasnya.
Sebagai info, juara Bintang RTM 2009 itu mendirikan rumah tangga dengan Syamel pada 26 Mac 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Masjid Puncak Alam, Selangor.
Ernie kemudian selamat melahirkan puteri sulungnya di sebuah pusat perubatan di ibu negara pada 22 Februari 2022. – KOSMO! ONLINE