HAMPIR setiap hari kita mendengar mengenai konflik antara haiwan liar dan manusia seperti pencerobohan gajah, harimau dan beruang ke kawasan kampung serta kemusnahan tanaman yang disebabkan haiwan liar itu.
Pencerobohan ini semakin menjadi-jadi selain kejadian manusia diserang haiwan liar sehingga ada yang menemui ajal, sekali gus menimbulkan keresahan kepada semua. Kampung-kampung dan jalan raya kini bagaikan sudah dikongsi bersama haiwan liar seperti gajah yang dilihat tidak lagi memperdulikan manusia.
Selain itu, isu yang telah lama diperkatakan iaitu ‘climate change’ atau perubahan iklim turut meresahkan masyarakat kini terdedah kepada pelbagai bencana alam termasuk banjir.
Kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa juga boleh berlaku akibat daripada isu ini malah ada kampung-kampung yang lenyap akibat kenaikan paras air.
Kenapa dan mengapa serta salah siapa keadaan ini berlaku?
Bagi mengupas isu ini Wartawan Kosmo! Ahad, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN menemu bual Pengarah Institute of Planetary Survival For Sustainable Well-Being Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Planet IIUM), Prof. Ts. Dr. Muhammad Lokman Md. Isa di Kuantan, Pahang baru-baru ini.
PlanetIIUM yang juga memiliki Frozen Zoo atau Zoo DNA pertama di Asia Tenggara mempunyai kepakaran dalam isu planetary health atau kesihatan planet dengan mempunyai tujuh pusat penyelidikan melibatkan pelbagai penyelidikan berkait kesihatan planet.
PlanetIIUM yang ditubuhkan pada 2021 bertujuan menangani atau mencari solusi masalah-masalah kesihatan planet. Ia ditubuhkan selepas wujud Frozen Zoo yang mengumpulkan pelbagai sel hidup, tisu dan genetik haiwan yang pupus dan diambang kepupusan dan haiwan yang masih ada.

KOSMO! AHAD: Konflik antara haiwan dan manusia dilihat semakin menjadi-jadi, kalau dilihat di Pahang sahaja hampir setiap hari ada kes pencerobohan haiwan liar khususnya gajah di kawasan kampung dan kawasan pertanian. Apa pandangan Prof.?
MUHAMMAD LOKMAN: Apabila bercerita mengenai konflik gajah ini, kita kena tahu secara aslinya apa yang ia makan?
Gajah makan tebu, benda yang beruas-ruas ini dalam hutan tetapi lama-kelamaan apabila manusia melakukan ‘deforestation’ dengan menebang pokok, haiwan itu sudah tiada sumber makanan dan generasi haiwan itu kini tidak tahu apa sebenarnya makanan asalnya. Disebabkan makanan seperti tebu sudah tiada, anak gajah akan mengikut ibunya memakan sawit. Ini yang dikata berlaku pencerobohan.
Ia (gajah) tidak tahu asalnya kena makan benda-benda lain. Benda yang sepatutnya dimakan dalam hutan memang tersedia di situ sebelum ini.
Tetapi manusia juga yang buat, ‘cerahkan’ hutan tersebut, jadi sudah tidak ada makanan. Haiwan-haiwan ini tiada pilihan dan memakan pokok sawit yang ditanam beratus hektar.
Keadaan ini seolah-olah memberi gambaran gajah telah menukar ‘menu’, sedangkan bukan salah haiwan tersebut, makanan asal telah tiada di situ. Lepas itu kita salahkan haiwan-haiwan ini memusnahkan tanaman yang diusahakan manusia.
Kenapa perkara ini boleh berlaku dan menjadi ancaman kepada manusia?
Kebanyakan mereka yang mengusahakan tanaman sawit adalah untuk kepentingan sendiri dengan mengabaikan kepentingan alam sekitar, biodiversiti dan juga habitat haiwan menyebabkan hutan menjadi semakin kecil, makanan pun sukar diperoleh.
Apabila haiwan liar seperti gajah sampai ke kampung, ia akan nampak tanaman seperti pisang penduduk sebagai punca makanan.
Jadi apabila ada orang mengganggu dan cuba menghalaunya, ia pasti akan mengamuk kerana itu tabiat semula jadi haiwan itu. Ini berlainan kalau dalam hutan, tiada siapa pun mahu mengacau haiwan tersebut.
Apabila orang kampung terkejut dengan kehadiran gajah-gajah itu, ini yang menyebabkan ia terasa terancam dan di sinilah kita selalu dengar haiwan itu mengamuk. Gajah-gajah itu bertindak demikian kerana berasakan keberadaannya di situ terancam.
Contohnya apabila melalui jalan raya di Gerik, Perak dan ternampak kelibat gajah di tepi jalan, haiwan itu tidak akan mengancam nyawa manusia bila kita berdiam diri. Kalau kita membunyikan hon atau buat sesuatu, masa itulah ia mengejar kita.
Apa penyelesaian terbaik dalam isu ini?
Sebenarnya kita yang diberikan akal kena fikirkan satu jalan penyelesaian yang rasional.
Saya rasa kaedah yang dilakukan oleh Sabah Wildlife di bawah badan bukan kerajaan (NGO) Borneo Rhino Alliance (Bora) amat berkesan bagi mengelakkan berlaku pertembungan antara manusia dan haiwan terus wujud.
Mereka mewujudkan zon neutral antara kawasan penanaman kelapa sawit, zon yang bukan milik sesiapa yang dibiarkan meliar.
Berhampiran kawasan itu selalunya tumbuh pokok hutan sekunder, yang tidak sesuai bagi makanan gajah dan spesies haiwan lain.
Pihak Bora telah membersihkan pokok-pokok tersebut dan menukarkan dengan tanaman yang sesuai untuk gajah dan spesies yang ada di sana sebagai sumber makanan.
Mereka cuba mengubah balik ‘menu’ yang asal itu, seolah-olah ‘memberitahu’ gajah supaya tidak memakan kelapa sawit, sebaliknya memakan apa yang sesuai dengan fitrahnya.
Bora turut mengkaji pokok lain yang sesuai dan sebenarnya pokok paling sesuai adalah spesies ara, daripada yang menjalar sampai kepada yang berkayu.
Sejauh mana keberkesanan penyelesaian ini?
Dari situlah, pihak NGO berkenaan cuba kumpulkan pokok daripada pelbagai spesies dan menanam balik di kawasan tersebut supaya binatang liar boleh mendapat balik ‘kehidupan’ seperti sebelum ini.
Pada masa sama, kita boleh hidup secara bersama dan saling menghormati antara satu dengan yang lain. Maksudnya ia (binatang liar) sudah tidak akan masuk ke kawasan kelapa sawit, tetapi akan menuju ke kawasan yang kita ‘buat balik’ itu atau ‘reforest’.
Jadi sebenarnya perkara-perkara ini kita kena buat, fikir supaya boleh mengembalikan keseimbangan biodiversiti manusia dan alam sekitar.
Ekosistem perlu distabilkan semula, kalau tidak kita akan menghasilkan ketidakpastian. Jika biodiversiti terancam, kehidupan manusia pun tidak akan stabil kerana sentiasa ada ancaman dan sebagainya.
Sebenarnya selama ini kita sendiri yang masuk ke kawasan haiwan liar. Persoalannya untuk apa?
Satu untuk kepentingan kehidupan. Kalau sekadar kepentingan kehidupan itu okey, tetapi bila masuk elemen ekonomi untuk hidup lebih bagus dan mendapat keuntungan seperti menjadi kaya itu menyebabkan kita jadi rakus. Akhir sekali, apabila jadi isu seperti pencerobohan harimau, gajah dan sebagainya dalam kawasan penempatan, masa itu barulah sibuk nak buat macam-macam.
Konflik telah terjadi, apa yang harus dilakukan?
Mungkin salah nenek moyang kita dahulu, tetapi kita tidak boleh mengulangi kesalahan tersebut.
Jadi sekarang, sama ada kita baiki perkara yang sudah berlaku atau pun kalau hendak buat benda baharu kena berfikir secara holistik supaya bukan sekadar manusia, malah alam sekitar dan biodiversiti terjaga.
Adakah haiwan liar pada masa ini semakin ganas kerana banyak kes serangan sehingga ada kehilangan nyawa?
Haiwan liar sebenarnya hendak mencari makan sebab makanan tidak mencukupi disebabkan habitat terancam. Sebab itu haiwan-haiwan ini masuk ke kawasan kampung.
Dalam isu konflik haiwan dan manusia pada pandangan Prof. siapa yang bersalah?
Manusia diberikan akal, malahan dalam al-Quran pun mengatakan kita sebaik-baik ciptaan, ada akal itu yang menyebabkan kita ada keupayaan untuk membina, menghasil benda baharu dan membuat keputusan.
Jadi, apabila kita sendiri tidak mematuhi hukum alam, buat ikut suka, lakukan untuk kepentingan dari segi ekonomi, hendak kaya cepat, maka kita sebenarnya yang bersalah.
Kita tahu perkara itu, tetapi buat seolah-olah tidak tahu, kita tidak ambil tahu, kita buat sesuka hati untuk mengaut keuntungan. Akhir sekali apabila ada isu, kita salahkan binatang.
Kita kata binatang itu yang mengganas, mengganggu ketenteraman penduduk.
Sebab itu bila kata siapa salah, sebenarnya pada saya manusia itu sendiri yang membuat keputusan tidak matang, terburu-buru dan mementingkan diri sendiri.
Akhirnya, kita semua yang hidup dalam satu komuniti terkesan dengan apa yang berlaku.
Apa peringatan atau saranan Prof. dalam isu ini?
Kalau kita buat sesuatu dengan penuh perancangan, melihat secara holistik, katalah kita hendak tebus guna kawasan itu, pastikan ada kawasan rizab untuk binatang atau mungkin kalau binatang mamalia besar ada, kita pindahkan ke satu kawasan lain yang lebih kondusif, lebih sempurna untuknya, kita boleh buat sesuatu.
Ia memerlukan satu pelan yang sangat kreatif dan berintegriti. Haiwan itu sendiri tidak boleh hendak ‘kata apa-apa’ pun keputusan yang kita buat.
Kalau kita hendak A, B atau C haiwan tidak boleh ‘kata apa’, tetapi kesannya apabila ia datang serang, kita pulak akan jadi terlebih ‘alert’ dan terus hendak membunuhnya dengan alasan mengancam kehidupan kita.
Itu sebab kalau kita hendak buat keputusan, perlu menyeluruh. Kita perlu mengambil tahu keputusan serta solusi dibuat itu sesuatu yang sekurang-kurangnya boleh menghasilkan satu situasi yang stabil.
Bolehkah kita hanya biarkan haiwan-haiwan itu mati dan pupus demi kelangsungan kehidupan manusia?
Kalau kita kata boleh buat macam itu, maksudnya kita hidup macam cerita Star Wars. Hidup di atas kapal, ada tangki udara contohnya, adakah kita mahu hidup seperti itu?
Jika harimau pupus, harimau sepatutnya makan apa. Ia mungkin makan lembu liar atau pelanduk dan sebagainya. Apabila harimau sudah tidak ada, spesies seperti lembu dan pelanduk menjadi banyak.
Ini akan menjadikan alam tidak stabil kerana mendatangkan masalah macam pokok-pokok akan hilang, sebab haiwan ini terlampau banyak. Jadi sistem yang cantik yang Allah sudah buat itu akan terkesan. Apabila sistem itu terkesan, kita sendiri sebagai manusia akan turut menerima tempiasnya.
Isu ‘climate change’ atau perubahan iklim telah lama diperkatakan, apakah pandangan Prof.?
Perubahan iklim ini juga hasil daripada ‘tangan-tangan’ manusia, macam kita ambil contoh dari segi pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan.
Apabila suhu meningkat akan berlaku pemanasan dan ais akan mencair, maka banyak kawasan akan tenggelam dan akan berlaku banjir dan sebagainya. Benda dalam dunia ini macam ‘sequence’ dia tidak hilang, air itu diserap jadi hujan dan hujan akan turun balik.
Peningkatan suhu disebabkan aktiviti kita. Dalam revolusi industri, kita hasilkan udara yang mencemarkan karbon dioksida dan karbon monoksida menyebabkan kesan rumah hijau.
Jadi udara itu meningkat dan terperangkap akhirnya mencairkan ais dan semua orang akan terasa kesannya.
Apa pengakhiran kalau perubahan iklim berterusan tidak dapat dikawal?
Kalau perkara ini tidak dibendung, ia boleh membawa kepada peningkatan suhu, mungkin ada banyak kawasan di pesisiran pantai akan hilang.
Kita nampak macam di kawasan Setiu, Terengganu, banyak kampung yang sudah tidak ada sekarang. Kampung-kampung itu sudah hilang sebab aras laut meningkat, jadi orang terpaksa berpindah.
Selepas itu, kawasan yang sangat tercemar mungkin sesetengah sungai tidak boleh digunakan lagi. Di dalamnya tidak ada hidupan, ikan pun tidak ada.
Kita boleh nampak airnya, tetapi tidak boleh ambil, sepatutnya sungai boleh digunakan sumber air.
Kalau kita menebang pokok pula, berlaku tanah runtuh atau pun kepala air. Dahulu jarang berlaku, tidak seperti sekarang, sekejap kita dengar kepala air berlaku di Sik, Kedah sebelum ini.
Selain itu, apabila dibuat aktiviti ‘deforestration’ menyebabkan sistem berubah dan berlaku banjir di tempat yang sebelum ini tidak biasa berlaku bencana sedemikian.
Lagi satu hujan asid disebabkan oleh keadaan alam sekitar dan udara tidak stabil, banyak gas-gas yang dihasilkan. Apabila membentuk hujan, gas itu terlarut sekali dalam air hujan, maka berlaku hujan asid yang memberi kesan kepada kesihatan manusia.
Bagaimana cara mahu mengatasi kedua-dua isu ini?
Sekarang kita sedang mempopularkan ‘planetary health’ atau kesihatan planet. Semua orang di dunia ini menceritakan perkara sama. Bagaimana terbentuk ‘planetary health’ ini. Mula-mula melalui istilah ‘public health’, kita bincang tentang penyakit berjangkit dan tidak berjangkit. Kemudian muncul penyakit daripada haiwan, selepas itu berlaku bencana alam gempa bumi, tsunami, banjir. Elemen ini yang kita namakan ‘planetary health’.
Jadi, kita integrasikan manusia dengan alam sekitar dan juga haiwan dalam hal ini. Kita perlu mengenal pasti masalah berkaitan ekosistem ini dan mencari solusi. Itu yang Planet IIUM cuba mendapatkan solusinya.
Kita tidak mahu tahu berkenaan masalah, sebab masalah itu sudah berlaku, tetapi apa kita inginkan adalah penyelesaian, apa yang perlu masyarakat buat.