JAKARTA – Penduduk di Batubara, wilayah Sumatera Utara mengundang perhatian ramai selepas menghalang laluan kereta api secara beramai-ramai, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Kejadian berlaku di Kampung Lalang, daerah Medang Deras baru-baru ini.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @medanku memaparkan orang ramai berdiri di sepanjang landasan sambil menjerit dalam keadaan marah.
Mereka juga meletakkan beberapa batang kayu yang dibakar untuk menghalang gerabak tersebut daripada melintas.
Perbuatan itu dilakukan sebagai tanda protes selepas seorang wanita meninggal dunia akibat dilanggar kereta api.
Pengurus syarikat PT Kai Divre I Sumut, Anwar Solikhin berkata, pihaknya terpaksa membatalkan beberapa perjalanan.
“Seorang wanita meninggal dunia selepas dilanggar kereta api ketika melintasi landasan. Mangsa tidak mengendahkan penggera yang dipasang,” tambahnya. – AGENSI