JEMPOL – Seorang pelajar automotif sebuah kolej di Seremban maut selepas terbabit dalam nahas tiga buah motosikal di Jalan Felda Palong 2, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu dipercayai berlaku semasa motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang oleh pelajar berusia 22 tahun berkenaan.
Menurutnya, pelajar yang sebelum ini menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat kenderaan di Bahau itu dalam perjalanan dari perkampungan Felda Palong 2 menghala ke jalan besar Felda Palong.
“Setiba di lokasi kejadian, dipercayai mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh dari motosikalnya sehingga motosikal terseret ke jalan bertentangan sejauh 20 meter. Pada masa sama, dua buah motosikal lain turut merempuh motosikal mangsa.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal jenis Yamaha y15zr telah mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE