KEPUTUSAN Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk merekrut ramai pemain import bertaraf bintang dianggap sebagai isyarat penting oleh juara Liga Super itu yang bersedia untuk menakluk kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dalam masa terdekat.
Pandangan itu disuarakan oleh pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang melihat saingan tempatan bukan lagi ‘level’ buat skuad Harimau Selatan sebaliknya tumpuan kini diberikan pada saingan di peringkat yang lebih tinggi.
Namun, Zulakbal mengakui bukan mudah buat skuad Hector Bidoglio itu bergelar juara ACLE musim ini, tetapi tiada yang mustahil kerana mereka sudah memiliki jentera pasukan yang begitu ampuh.
“Apa yang JDT buat ini adalah perkara normal kerana sebagai pasukan bola sepak yang kompetitif, mereka tidak akan pernah puas. Selepas semua piala domestik mereka sapu dalam tempoh 11 tahun, sudah pasti kini mereka sasarkan trofi Asia.
“Justeru, saya yakin dengan kehadiran ramai pemain import baharu ini mampu memberi kekuatan tambahan buat pasukan JDT bersaing pada peringkat kalah mati nanti kerana kualiti mereka bukan sekadar tangkap muat.
“Namun, kalau boleh kita mahu lihat mereka berjaya hingga layak ke kejohanan Piala Dunia Kelab pada masa akan datang kerana tiada batas untuk keupayaan JDT ketika ini.
“Kalau zaman dulu kita tengok pasukan Jepun yang menentang kelab seperti Sao Paolo, siapa tahu satu hari nanti JDT akan menentang kelab-kelab dari benua lain,” katanya kepada Kosmo!
Antara pemain bertaraf bintang dari Eropah yang ditandatangani JDT sejak Januari lepas seperti Jese Rodriguez (bekas pemain Real Madrid), Alvaro Gonzelez (bekas pemain Al Nassr), Roque Mesa (bekas pemain Swansea City) dan Samu Castillejo (bekas pemain AC Milan).
Piala Dunia Kelab bakal dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bermula tahun ini apabila Amerika Syarikat bakal menjadi tuan rumah dengan 32 kelab dari enam benua akan menyertai saingan.
Bagi benua Asia, slot automatik diberikan kepada juara ACLE untuk tempoh empat musim sebelum saingan Piala Dunia Kelab edisi berikutnya dianjurkan pada 2029 menyebabkan JDT tidak boleh melepaskan peluang tersebut.
Bagi saingan Piala Kelab Dunia musim ini, empat kelab telah dipilih untuk mewakili Asia seperti Al Hilal (juara 2021), Urawa Red Diamonds (juara 2022), Al Ain (Juara 2023/2024), Ulsan HD (ranking terbaik).
Ketika ini, peluang JDT untuk mencipta sejarah mara ke suku akhir nampak cerah selepas diundi bertemu satu lagi kelab mewah dari Thailand, Buriram United dengan perlawanan akan berlangsung pada 4 Mac depan.