TEL AVIV – Israel menyekat kemasukan bekalan kemanusiaan ke Gaza dan mengeluarkan ancaman sekiranya Hamas enggan menerima cadangan untuk melanjutkan gencatan senjata fasa pertama.
“Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memutuskan bahawa mulai pagi ini, semua kemasukan barangan dan bekalan ke Semenanjung Gaza akan digantung,” kata pejabatnya dalam satu kenyataan.
“Israel tidak akan menerima gencatan senjata tanpa pembebasan tebusan kami. Jika Hamas berterusan dengan keengganannya, akan ada akibat lain,” tambahnya.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Hamas enggan tunduk kepada cadangan Utusan Asia Barat Presiden Amerika Syarikat, Steve Witkoff, untuk melanjutkan fasa pertama gencatan senjata di Gaza buat sementara waktu.
Hamas menegaskan bahawa satu-satunya cara untuk mencapai kestabilan di Gaza adalah dengan melengkapkan fasa kedua gencatan senjata yang digariskan sebelum ini, dengan melibatkan pengunduran askar Israel secara kekal dari wilayah itu.
Kumpulan pejuang Palestin itu menyelar tindakan Israel menyekat bekalan dan bantuan daripada memasuki Gaza dengan menyifatkannya sebagai jenayah perang dan melanggar perjanjian gencatan senjata.
“Keputusan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk menggantung bantuan kemanusiaan adalah pemerasan murahan, jenayah perang dan pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian (gencatan senjata),” kata Hamas. – AFP