JAKARTA – Pemerintah Indonesia mengurangkan harga tiket penerbangan domestik sebanyak 13 hingga 14 peratus sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri, lapor portal berita Suryakabar semalam.
Menteri Pengangkutan, Dudy Purwagandhi berkata, penurunan harga itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk meringankan beban rakyat yang ingin menyambut Aidilfitri di kampung halaman.
“Kami mahu memastikan rakyat dapat menikmati perjalanan yang lebih berpatutan dan selesa terutamanya semasa perayaan penting seperti Aidilfitri,” kata Dudy.
Pengurangan harga tersebut akan berkuat kuasa selama 15 hari untuk penerbangan dari 24 Mac hingga 7 April, manakala pembelian tiket bermula pada 1 Mac hingga 7 April.
Selain menurunkan harga tiket, Dudy juga akan memastikan kapasiti penerbangan mencukupi sepanjang cuti raya.
“Kami tidak hanya fokus pada penurunan harga tetapi juga pada kualiti perkhidmatan dan keselamatan penerbangan secara keseluruhan.
“Kami akan pastikan kapasiti penerbangan mencukupi di samping meningkatkan keselamatan serta keselesaan penumpang,” tambahnya. – AGENSI