BAHRAIN – Lewis Hamilton mendedahkan bahawa dia memiliki perasaan paling positif menjelang penampilan pertamanya bersama Ferrari menjelang perlumbaan pembuka tirai Formula Satu (F1) yang berlangsung di Melbourne, Australia pada 16 Mac depan.
Juara dunia tujuh kali itu kini bersiap sedia untuk musim pertamanya bersama pasukan Scuderia Ferrari selepas mengejutkan dunia sejurus berpindah dari Mercedes, pasukan yang diwakilinya selama 12 musim.
Ketika ditanya mengenai jentera SF-25, Hamilton mengakui segala-galanya berbeza baginya sebaik berada dalam kereta buatan Itali tersebut.
“Saya boleh katakan ini adalah perasaan paling positif yang saya rasakan sejak sekian lama. Hari ini sangat penting untuk memahami jentera dan bagaimana pasukan beroperasi.
“Saya sedang mempelajari cara mereka bekerja dan menyesuaikan diri sedikit demi sedikit untuk meningkatkan kecekapan kami bersama. Setakat ini, semuanya berjalan sangat positif,” kata Hamilton.
Hamilton turut mendedahkan dia merasai perbezaan ketara antara jentera Ferrari berbanding Mercedes dan McLaren yang pernah dipandunya sebelum ini.
“Kereta ini dibina dengan sangat baik dan mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Cara memandu, cara memasuki selekoh, bunyi enjin, semuanya berlainan.
“Saya sudah lama menggunakan enjin Mercedes yang hebat dan sekarang saya lihat Ferrari juga mempunyai unit kuasa yang sangat bagus. Kini, saya hanya mahu berada dalam grid dan berlumba,” katanya. – AGENSI