SHAH ALAM – Pakar kardiologi peribadi Sultan Selangor yang juga Pro-Canselor Universiti Selangor (Unisel), Datuk Dr. Anuar Tafsir @ Masduki, 79, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya, hari ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya, kira-kira pukul 9.28 pagi.
Anak bongsunya, Norma Syaneda Anuar, 47, berkata, arwah yang menghidap kanser limfoma dimasukkan ke hospital akibat denggi, tiga minggu lalu.
“Ayah telah dibenarkan keluar namun kelihatan lemah dua hari kemudian. Kami membawa semula beliau ke hospital dengan segera dan didapati ada jangkitan di otak,” katanya.
Tambahnya, solat jenazah Allahyarham akan dilakukan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, sebelum dijangka dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam. – KOSMO! ONLINE