KUALA LUMPUR – Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi sekali lagi mencipta kejutan apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 60 meter (m) buat kali kedua dalam tempoh kurang sebulan.
Pada aksi final Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC di Bryan-College Station, Texas, Azeem yang mewakili Universiti Auburn mencatat masa 6.56 saat (s).
Catatan terbaik tersebut sekali gus membolehkan Azeem memperbaharui rekod kebangsaan 6.60s miliknya sendiri yang dilakukan pada 14 Februari lalu di Kejohanan Jemputan Tiger Paw di Universiti Clemson, Amerika Syarikat (AS).
Hasil keputusan tersebut menyaksikan Azeem menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang juara dari Arkansas, Jordan Anthony (6.54s) dan rakan sepasukannya di Auburn, Israel Okon (6.55s) berada di tempat kedua.
Lebih menarik, kejayaan tersebut turut membuka peluang buat Azeem untuk bersaing pada Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) yang akan diadakan pada 14 Mac depan di Virginia, Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, penyertaan Azeem masih bergantung kepada kedudukannya dalam senarai 16 terbaik NCAA, yang dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat. – KOSMO! ONLINE