GEORGE TOWN – Tujuh sekeluarga termasuk empat kanak-kanak dilaporkan mengalami kecederaan apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki terbabas lalu merempuh sebatang tiang elektrik di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, pagi tadi.
Mangsa terdiri dua lelaki berusia 20an dan 40-an masing-masing cedera pada perut dan kepala manakala mangsa wanita berusia 40-an pula patah kaki kanan.
Empat kanak-kanak terdiri seorang lelaki dan tiga perempuan dilaporkan mengalami kecederaan ringan pada pinggang dan tangan.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bayan Lepas selepas keluar bersahur di pusat bandar George Town.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’Azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 1.46 pagi tadi dan operasi menyelamat mangsa turut melibatkan bantuan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru.
Menurutnya, sebaik pasukan tiba di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku melibatkan sebuah MPV jenis Toyota Innova.
“Terdapat mangsa dewasa ditemui dalam keadaan tersepit manakala empat lagi kanak-kanak yang tidak dikenal pasti identiti itu mengalami cedera ringan.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas dan kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan pada 2.54 pagi tadi,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Jelasnya lagi, kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut. -KOSMO! ONLINE