PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan seorang wartawan sebuah portal berita dalam talian malam tadi adalah berhubung kes rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan memaklumkan, penahanan itu dibuat bukan berdasarkan pendedahan laporan yang dibuat wartawan berkenaan.
Katanya, lelaki itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009.
“Wartawan itu ditahan di sebuah hotel di Shah Alam pada pukul 11.30 malam tadi,” katanya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pengamal media itu dipercayai menerima wang berjumlah RM20,000 daripada ejen pekerja warga asing dan ketika tangkapan dibuat wang tersebut ada bersama lelaki berkenaan.
Terdahulu, wartawan itu yang memakai baju lokap dengan kedua-dua tangan bergari tiba di Mahkamah Majistret, di sini pada pukul 9.30 pagi dengan diiringi beberapa pegawai SPRM.
Majistret Baveniyah R Jothi membenarkan lelaki itu direman bermula hari ini sehingga Selasa depan selepas permohonan dibuat pihak SPRM pagi tadi. – KOSMO! ONLINE