TAPAH – Calon-calon Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas yang berpotensi telah dikenal pasti pada peringkat awal bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
Pengerusi PN Parlimen Tapah, Abd. Muhaimin Malek berkata, senarai tiga calon yang merupakan ‘anak tempatan’ itu telah dikenal pasti sebaiknya.
“Kita hanya memberikan senarai nama namun keputusan muktamad tetaplah kepada PN dan Pas Pusat. Calon-calon itu merupakan anak tempatan berumur kurang 50 tahun.
“Ada dikalangan calon tempatan ini merupakan Pemuda Pas Tapah. Lebih baik orang tempatan kerana mereka lebih memahami keperluan masyarakat di Ayer Kuning,” katanya di sini hari ini.
Kata Yang Dipertua Pas Tapah itu, PN telah mengaktifkan pusat gerakan dan cawangan berhampiran 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Ayer Kuning. – KOSMO! ONLINE