PETALING JAYA – Seorang pelajar lelaki cedera selepas dilanggar sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) ketika sedang melintas di Jalan Persiaran Fajar, Subang Bestari, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.15 tengah hari ketika sekumpulan pelajar sedang melintas jalan yang dikawal oleh seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Ketika pelajar-pelajar tersebut melintas, sebuah SUV yang dipandu lelaki berusia 66 tahun tidak berhenti sehingga menyebabkan seorang daripada mereka melanggar bahagian depan kiri kenderaan itu.
“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan di bahagian pipi kiri dan sedang menerima rawatan di hospital berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Hafiz, pemandu SUV berkenaan telah tampil menyerah diri di balai polis kira-kira lima jam selepas kejadian.
“Pihak polis turut mengambil keterangan anggota Rela yang bertugas semasa kejadian dan akan memanggil pihak sekolah untuk berbincang mengenai aspek keselamatan bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta agar individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Che Hassan Ambok di talian 013-3940423 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-61561222. – KOSMO! ONLINE