MANCHESTER – Saingan Piala FA menjadi satu-satunya peluang buat Manchester City menamatkan kempen musim ini dengan menjulang trofi selepas tersingkir awal daripada kejohanan-kejohanan lain.
The Citizens dijangka menurunkan barisan terkuat menjelang aksi pusingan kelima menentang ‘giant killer’, Plymouth Argyle yang akan berlangsung di Stadium Etihad awal pagi esok.
Walaupun berdepan pasukan dari Liga Kejuaraan Inggeris, namun City tidak boleh memandang rendah kemampuan pasukan itu memandangkan mereka sudah menyingkirkan Liverpool pada pusingan terdahulu.
Pemain sayap City, Jeremy Doku berharap dia dan rakan sepasukan dapat mengekalkan aksi konsisten apabila mereka dilihat semakin hampir kembali ke prestasi sebenar selepas menewaskan Tottenham Hotspur kelmarin.
“Adakah City sudah kembali seperti dahulu? Saya fikir ia betul kerana kami mahu kembali memenangi perlawanan berturut-turut walaupun tahu ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana saingan sekarang semakin sukar.
“Kami sudah belajar sesuatu daripada saingan musim ini bahawa mana-mana pasukan pun boleh menang, jadi kami perlu bersiap sedia menjelang pertemuan dengan Plymouth pada aksi Piala FA nanti,” katanya.
Selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah selain terkeluar daripada perebutan Liga Perdana Inggeris (EPL), City pastinya menjadikan saingan Piala FA sebagai keutamaan musim ini. – AGENSI