SUNGAI BULOH – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 2024 yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 6.3 peratus peratus untuk kedua-dua Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional, melibatkan agihan keseluruhan berjumlah RM73.24 bilion.
Bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, KWSP merekodkan pendapatan pelaburan RM74.46 bilion, 11 peratus lebih tinggi berbanding RM66.99 bilion pada 2023.
Aset pelaburan KWSP pula mencapai RM1.25 trilion, naik 10 peratus daripada RM1.13 trilion pada 2023, didorong pendapatan portfolio kukuh serta jumlah caruman bersih sebanyak RM108.22 bilion.
Sementara pendaftaran ahli baharu pula mencapai 475,752 orang, menjadikan jumlah keseluruhan ahli KWSP sebanyak 16.22 juta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, kadar 6.3 peratus yang diumumkan merupakan kadar dividen tertinggi KWSP sejak tahun 2017.
“Ekonomi Malaysia memperlihatkan pertumbuhan kukuh tahun lalu, dengan penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 12.9 peratus.
“Bermula Januari 2024, KWSP telah memisahkan sepenuhnya portfolio Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah, membolehkan setiap portfolio mengoptimumkan pulangannya dalam jangka panjang melalui alokasi aset strategik tersendiri.
“Strategi bagi kedua-dua portfolio ini ialah supaya ia dapat memberikan pulangan yang hampir sama dalam jangka panjang, dan tahun ini kebetulan kedua-duanya memberikan kadar dividen yang sama,” katanya pada Taklimat Prestasi Kewangan KWSP di Menara KWSP, Kwasa Damansara, di sini hari ini.
Kadar dividen tertinggi pernah diberikan KWSP adalah 8.5 peratus, dari tahun 1983 hingga 1987.
Pengkreditan dividen KWSP akan selesai esok, 2 Mac 2025 dan ahli boleh mula menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri KWSP di seluruh negara.
KWSP merupakan antara dana persaraan terbesar di dunia dari segi saiz dana setakat September lalu menurut Thinking Ahead Institute, menduduki tangga ke-13 di dunia dan kelima di Asia. – KOSMO! ONLINE