PETALING JAYA – Syarikat KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. iaitu jenama KK Super Mart bekerjasama dengan Halal Development Corporation Berhad (HDC) dalam usaha memartabatkan kredibiliti dan daya saing produk Malaysia ke pasaran global.
Menerusi kenyataan KK Super Mart, sebagai permulaan seramai 34 kakitangan syarikat menyertai Kursus Asas Industri Halal dikendalikan HDC yang juga agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) disampaikan Pengurus Institut Latihan Halal HDC, Muhamad Noridham Nordin.
“Dalam kursus yang berlangsung selama sehari di bangunan Menara KK, ia menekankan aspek pendedahan asas berkaitan kepentingan halal kepada masyarakat Muslim serta kepada industri global dan domestik.
“Selain itu, prosedur pendaftaran Sijil Halal Malaysia dan perundangan melibatkan dengan agensi penting seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri,” menurut kenyataan itu.
Penyertaan kakitangan adalah dari pelbagai jabatan termasuk jabatan belian, khidmat pelanggan, operasi, pematuhan dan latihan serta korporat. Ia turut dihadiri oleh Pengurus Kanan Pusat HDC, Suryati Mohd. Hayani dan Lembaga Pengarah & Penasihat Perhubungan Korporat KK Super Mart, Muhamad Haikal Daniel.
Hasil kursus ini juga amat berfaedah khususnya kepada kakitangan di semua peringkat organisasi, sama ada kakitangan Islam mahupun bukan Islam.
“Mesej dan ilmu asas ini perlu dikuasai bagi memastikan penambahbaikan berterusan dalam perniagaan dan kehidupan harian.
“Sebagai produk jenama Malaysia, KK Super Mart kini mempunyai lebih daripada 940 cawangan di seluruh Malaysia termasuk di India dan Nepal akan terus mengorak langkah positif dalam pasaran tempatan dan di peringkat global,” ujar KK Super Mart.
Menurut kenyataan itu lagi, dengan kapasiti lebih 5,500 pekerja dan dijangka akan terus bertambah, kerancakan perniagaan KK Super Mart dilihat
mampu memberikan kesan yang positif dalam pembangunan ekonomi negara.
“Melalui usaha sama akan datang, KK Super Mart dan HDC akan merangka beberapa pelan strategik dari pelbagai aspek latihan dan konsultasi.
“Pemahaman dari sudut pelabelan, pembungkusan, penyusunan, penyimpanan, logistik dan aspek lain akan digariskan dan ditambah baik bagi menyokong usaha proaktif kerajaan Malaysia untuk merealisasikan harapan menjadikan Malaysia sebagai Hab Halal Global.
“Usaha ini akan berterusan dan diyakini dapat membawa imej KK Super Mart kepada langkah pemulihan dan turut cemerlang dalam industri peruncitan di pasaran halal global,” katanya. – KOSMO! ONLINE