PETALING JAYA – Seorang pemilik rumah di Taman Connaught, Cheras dikompaun atas kesalahan memelihara anjing tanpa pengawasan dan menyimpan barang lusuh secara berlebihan sehingga menimbulkan kacau ganggu.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataannya berkata, pihaknya bersama Pejabat Kesihatan Parlimen Cheras menerima aduan berulang mengenai premis tersebut sejak tahun 2023.
“Hasil siasatan pada 24 Februari lalu, siasatan mengesahkan terdapat empat ekor anjing dan sejumlah besar barang lusuh di premis tersebut.
“Dua notis dikeluarkan, kita mengarahkan pemilik untuk mendapatkan lesen anjing, mengurangkan jumlah anjing, serta menghentikan penyimpanan barang lusuh dalam tempoh tiga hari,” katanya hari ini.
Menurut DBKL, operasi bersama dijalankan pada 27 Februari lalu dengan kerjasama Unit Kawalan Pest Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS), Pusat Logistik Vektor JKAS dan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
“Tindakan yang diambil termasuk pembersihan kawasan, rampasan dua ekor anjing. Pemantauan lanjut akan diteruskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya,” ujarnya.
DBKL menegaskan memelihara anjing tanpa lesen atau melebihi jumlah dibenarkan serta mengumpul barang lusuh hingga menjejaskan persekitaran merupakan satu kesalahan.
“Pemilik anjing diwajibkan mendapatkan lesen bagi setiap ekor haiwan yang dipelihara, manakala penyimpanan barang lusuh secara berlebihan boleh mengancam kesihatan serta kesejahteraan komuniti setempat.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan ini,” katanya.
DBKL turut menyeru kerjasama semua pihak untuk memastikan kebersihan dan keharmonian persekitaran demi kesejahteraan bersama. – KOSMO! ONLINE