PETALING JAYA – Semua peniaga makanan termasuk di bazar Ramadan dilarang menggunakan peralatan yang bukan bertujuan untuk penyimpanan atau penyediaan makanan.
Perkara tersebut antara ditegaskan menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung nasihat keselamatan makanan sempena bulan Ramadan ini.
“Tindakan seperti menggunakan akuarium sebagai pengganti bekas air balang, tong sampah hitam untuk menyimpan bahan mentah, atau peralatan lain yang tidak sesuai boleh menyebabkan pencemaran makanan dan meningkatkan risiko kesihatan kepada pengguna.
“KKM sentiasa komited dalam memastikan keselamatan makanan sepanjang Ramadan melalui pemantauan dan penguatkuasaan berterusan,” menurut KKM hari ini.
Selaras dengan Akta Makanan 1983 serta peraturan-peraturan di bawahnya, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) akan terus menjalankan pemantauan ke atas makanan yang dijual bagi memastikan kepatuhan terhadap standard keselamatan makanan yang ditetapkan, termasuk di bazar-bazar Ramadan.
“Aktiviti pemantauan dijalankan di sepanjang rantaian makanan ini telah dimulakan sejak sebelum Ramadan meliputi pemeriksaan ke atas sumber bahan mentah, tempat penyediaan makanan, dan peniaga yang telah dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Pemeriksaan turut diperluaskan ke hotel yang menyediakan bufet Ramadan, premis pembekal bahan mentah, serta premis penyediaan ais bagi memastikan semua pihak yang terlibat dalam penyediaan makanan mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan,” menurut kenyataan KKM.
KKM juga akan memperhebatkan kempen kesedaran melalui pendidikan kesihatan yang lebih meluas dengan menggunakan pelbagai platform komunikasi termasuk media sosial, televisyen dan radio.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan dengan mengamalkan petua keselamatan makanan. – KOSMO! ONLINE