PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak 1446H kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Seri Paduka Baginda berharap semua umat Islam Malaysia mengambil kesempatan pada bulan yang mulia ini untuk mengeratkan silaturahim dan membantu mereka yang memerlukan.
“Saya dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan kesejahteraan kepada rakyat Malaysia serta dielakkan sebarang perselisihan atau perbalahan bersempena bulan Ramadan yang penuh barakah ini,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO)
Seri Paduka Baginda turut mengajak seluruh umat Islam agar sama-sama bermunajat dan berdoa agar Malaysia sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan serta dilindungi daripada segala ancaman, bencana dan musibah.-KOSMO! ONLINE