PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu meletakkan kenderaannya di tempat isi angin dan air di sebuah stesen minyak mengundang kemarahan pengguna lain.
Melalui sebuah video berdurasi satu minit 52 saat yang tular di Facebook, dua pemandu bertikam lidah susulan tindakan salah seorang daripada lelaki terbabit yang meletakkan kenderaannya di tempat isi angin tersebut tanpa mempedulikan orang lain.
Dalam rakaman itu kelihatan pemandu tersebut bagaimanapun seolah-olah tidak mahu mengalah apabila tidak mengalihkan kenderaannya dengan segera selepas ditegur.
Bagaimanapun, pergaduhan itu terlerai apabila pemandu yang menegur tindakan lelaki terbabit beredar daripada stesen minyak berkenaan.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan lelaki tersebut yang menyalahgunakan kemudahan di stesen minyak terbabit.
“Sama saja yang tak isi minyak, pergi tandas, masuk cucuk duit, beli barang, menyusahkan orang lain,” kata Rizal.
“Aku paling pantang ‘park’ dekat sebelah pam minyak tapi pergi ATM. Kita tunggu punyalah lama, ‘last-last’ dia keluar, hidup kereta terus jalan,” kata Bro Dell.
“Selalu dah hadap orang begini, suka-suka hati letak kereta dekat tempat isi angin,” kata Pelangi. – KOSMO! ONLINE