KUALA LUMPUR – LXM Resources iaitu syarikat milik suami kepada pelakon Elisya Sandha, Uzair Haqimy Azman mengemukakan tuntutan saman berjumlah RM808,260 terhadap WD Food Group Sdn. Bhd. milik aktor dan pempengaruh Wak Doyok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Uzair, 29, yang juga anak sulung kepada pelakon Sheila Rusly berkata, pihaknya nekad memfailkan saman selepas syarikat itu gagal dan cuai mematuhi dua perjanjian perkhidmatan sewa kenderaan dalam tempoh 24 bulan bermula 22 Disember 2023 dan 21 Jun tahun lalu.
“Kami nekad mengambil tindakan undang-undang yang difailkan pada 28 Januari lalu terhadap syarikat WD Food Group Sdn. Bhd yang mana pemilik saham terbesar dimiliki Mohd Azwan Md. Nor atau Wak Doyok.
“Kami sudah berusaha menyelesaikan perkara ini secara baik dengan berbincang beberapa kali selain memberi peluang kepada defendan membuat pembayaran sebelum tindakan guaman difailkan, namun mereka gagal mematuhi tuntutan itu.
“Jadi, kami terpaksa membawa perkara ini ke peringkat mahkamah selepas tiada tindak balas daripada mereka selepas diberikan notis akhir pada Disember tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Uzair berkata demikian pada sidang media yang diadakan di pejabatnya di Danau Kota, di sini, hari ini yang turut disertai peguam mewakili Uzair, Ismail Mohamed Arifin dari Tetuan Gulam Ismail & Adila serta Elisya selaku Pengarah Urusan LXM Resources.
Menurut Uzair lagi, dia berharap syarikatnya akan mendapat keadilan yang sewajarnya selepas memfailkan tuntutan saman terhadap pihak defendan.
Tambahnya, mereka juga kini juga masih berusaha untuk kembali memulihkan hal kewangan syarikat selepas berdepan kerugian besar.
“Saya harapkan keadilan untuk syarikat, sebab sudah tentu kami terkesan dengan situasi yang berlaku kerana membabitkan satu jumlah besar.
“Nak kata kembali stabil, sedang ke arah itu bahkan kami sedang berusaha menguruskan perniagaan ini dengan lebih baik. Sebelum ini pun kami ada berjumpa dengan pihak WD Food Group beberapa kali bagi mendapatkan penyelesaian, cuma tiada sebarang perubahan.
“Ketika beberapa mengadakan perbincangan, nampak seperti baik-baik saja. Ada lah sedikit ketegangan tapi tidak terlalu teruk,” ujarnya.
Sementara itu, Ismail menjelaskan tuntutan berjumlah RM808,260 itu termasuk penalti kelewatan pembayaran yang merangkumi ganti rugi am, faedah sebanyak 5 peratus setahun dan kos tindakan guaman.
“Mengikut pernyataan tuntutan, setakat ini, pihak defandan hanya membuat bayaran sebanyak RM24,930. Setiap satu perjanjian itu, kalau ada kegagalan dan kelewatan, kita ada klausa penalti atau denda.
“Denda ini yang membuatkan nilai principal ini bertambah yang menjadikan jumlah tertunggak sebanyak RM808,260,” katanya. – KOSMO! ONLINE