fbpx

‘Suami cakap jangan keluar malam, usah buat, boleh jatuh taklik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Along bersyukur urusan pengesahan lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi dipercepatkan pada tarikh 10 Mac ini.

SEPANG – Pelawak juga pelakon Along Cham menzahirkan rasa lega apabila permohonan mempercepatkan pengesahan lafaz taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi telah mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rendah Syariah Sepang.

Along atau nama penuhnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, berkata, dia sebenarnya sengaja tidak mahu berlengah atau menunda prosedur perceraian taklik tersebut kerana sudah dilanggar beberapa kali oleh Afreena sebelum ini.

“Saya berterima kasih kepada Mahkamah Rendah Syariah Sepang sebab saya minta dipercepatkan kes ini kerana benda saya lafaz biasa itu lain, tapi ini babitkan taklik.

“Saya tak berani nak biar lama-lama sebab benda ini berkait dengan hukum agama dan sudah tanya banyak pendapat ahli agama. Kalau ikutkan, memang sudah dilanggarlah.

“Jadi, pihak mahkamah syariah pun dah bagi tarikh mungkin cepat sikit (10 Mac),” katanya.

Tambah Along, dia tidak melantik peguam syarie untuk mewakilinya kerana perceraian tersebut didakwa sudah berlaku.

“Macam yang ustaz-ustaz sebelum ini ada beritahu, termasuk Ustaz Azhar Idrus terangkan kalau suami cakap jangan keluar malam itu, jangan keluar dan sudah boleh jatuh (taklik).

“Macam kes saya itu, bukan tentang dia keluar rumah tetapi hal ini terlalu peribadi untuk dikongsi sebab nanti netizen kata saya buka aib. Jadi, biarlah saya selesaikan dalam mahkamah saja,” katanya lagi.

Terdahulu, Along memfailkan permohonan lafaz cerai taklik terhadap Afreena di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 10 Februari lalu.

Along dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu dia sepatutnya sudah menfailkan cerai lafaz taklik itu pada 16 Disember tahun lalu, namun ditahan polis di kediamannya atas kesalahan memiliki ganja pada 14 Disember.

Dakwa Along, Afreena sudah melanggar lafaz taklik yang membabitkan tiga perkara itu sepanjang perkahwinan mereka.

Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu yang juga perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan bekas isteri pertama, Zila Saeron pada September 2016.

Hasil perkongsian hidup daripada perkahwinan pertama itu, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah penjagaannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI