fbpx

Speedy Tigers yakin tembus empat terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SARJIT (kiri) menjadikan Jelajah Australia bermula April ini sebagai peluang memperkemaskan strategi dan membina keserasian antara pemain.

KETUA jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh meletakkan sasaran minimum dengan mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara FIH di Kuala Lumpur yang akan berlangsung 15 hingga 21 Jun nanti.

Dengan kelebihan beraksi di laman sendiri, Sarjit mengakui kejohanan tersebut adalah platform penting untuk menilai kekuatan pasukan sebelum menghadapi cabaran lebih besar, Piala Asia di Rajgir, India yang akan membuka tirai pada 27 Ogos depan.

Sarjit berkata, Speedy Tigers akan menggunakan siri Jelajah Australia dari 20 April hingga 2 Mei bagi memperkemaskan strategi dan membina keserasian pemain baharu yang menyertai skuad kebangsaan.

“Kami ada sekurang-kurangnya enam minggu latihan sebelum Piala Negara-Negara. Selepas itu, enam hingga lapan minggu untuk Piala Asia. Perancangan sudah disusun rapi,” katanya semasa pengumuman senarai 30 pemain di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Berdasarkan ranking terkini Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Malaysia dijangka dalam kumpulan bersama Perancis, Korea Selatan dan Wales, manakala satu lagi kumpulan bakal dihuni oleh New Zealand, Afrika Selatan, Pakistan serta Jepun.

“Piala Negara-Negara adalah kejohanan penting dan sasaran kami jelas, sekurang-kurangnya mara ke kelompok empat terbaik,” ujar Sarjit.

Cabaran utama Speedy Tigers kali ini adalah membentuk kombinasi serangan terbaik tanpa kehadiran penyerang prolifik, Faizal Saari yang mengumumkan persaraan awal minggu ini.

Sarjit turut mengesahkan kemasukan lima pemain baharu dalam skuad kebangsaan iaitu Andywalfian Jeffrynus, Muhammad Adam Ashraf Mohd. Johari, Mohd. Haris Iskandar Osman, Mohd. Rafaizul Mohamad Saini dan Mohammad Danish Afnan Mohd. Faizal.

Meskipun masa semakin suntuk, Sarjit tetap optimis barisan pemain baharu dan senior mampu membentuk kombinasi mantap bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif di pentas dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI