IPOH – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid hari ini menyerahkan notis kekosongan DUN Ayer Kuning kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
Mohammad Zahir berkata, penyerahan notis itu dilakukan selepas menerima pemakluman oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung kematian Ishsam pada Sabtu lalu.
Katanya, selaras dengan Perkara 36(5), Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, kekosongan luar jangka itu perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR kekosongan berlaku.
“Pemakluman daripada BN diterima pada awal minggu ini seperti mana yang dimaklumkan.
“Pada ketika ini, persidangan DUN Perak dijangka dirasmikan pada pertengahan bulan April dan kita percaya SPR tentu mengambil kira perkara tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Ishsam, 59, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai perlawanan bola sepak persahabatan empat penjuru di Stadium Bandaraya di George Town, Pulau Pinang kira-kira pukul 6 petang, Sabtu lalu.
Ishsam yang pertama kali bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada tahun 2022 berjaya memenangi kerusi Dewan DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi. – KOSMO! ONLINE