SESTRIERE – Mikaela Shiffrin mencipta sejarah sebagai peluncur ski menuruni bukit pertama mencapai 100 kemenangan Piala Dunia selepas mengungguli acara slalom wanita berlangsung di Sestriere, Itali dengan kelebihan 0.61 saat (s) ke atas pesaing terdekatnya.
Pencapaian luar biasa itu hadir selepas tiga bulan penuh cabaran di mana Shiffrin terpaksa bangkit daripada kecederaan dialami di Killington, Vermont, Amerika Syarikat ketika sedang menuju kemenangan ke-100 sebelum ini.
“Ia adalah satu perjalanan yang luar biasa musim ini. Kemalangan di Killington, kecederaan, pemulihan otot, merawat luka dan mengatasi semua kesan akibat kecederaan tersebut.
“Beberapa bulan terakhir ini cukup gila hanya untuk kembali ke pintu permulaan dan meluncur semula. Segala emosi saya mencurah keluar dan ya, memang banyak air mata (menangis),” katanya.
Shiffrin kini mendahului 14 kemenangan di hadapan legenda Sweden, Ingemar Stenmark dan 18 kemenangan mengatasi Lindsey Vonn yang merupakan wanita kedua dalam carta terbaik sepanjang zaman.
Selain itu, kejayaannya di Itali baru-baru ini turut menyamai rekod Stenmark dengan 155 kali podium Piala Dunia menjadikannya antara peluncur ski paling dominan dalam sejarah sukan tersebut.
Meskipun sudah berada di puncak sejarah sukan ski, namun Shiffrin belum mahu berhenti kerana baginya, kemenangan ke-100 itu bukan satu noktah, tetapi satu permulaan baharu.
“Kemenangan ke-100 ini seakan mengembalikan saya ke titik permulaan, ia satu peluang untuk menetapkan semula perjalanan dalam sukan ini. Saya mahu melihat ke mana arus ini akan membawa saya,” tambahnya. – AGENSI