SEREMBAN – Kedatangan Ramadan kali ini bagaikan satu rahmat buat tiga sahabat kerana berpeluang menyambut bulan keberkatan itu bersama keluarga tercinta selepas Mahkamah Tinggi Seremban di sini, hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada dua pertuduhan mengedar dadah, empat tahun lepas.
Keputusan itu dibuat Hakim, Datuk Rohani Ismail terhadap Nor Maslisza Ramli, 32 yang juga seorang penganggur; Muhammad Azhar Ahmat @Ahmad, 32 (jurukimpal), dan Shazuan Md Sharif, 34 (bekerja sendiri) selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Bagaimanapun, seorang lagi rakan mereka, Muhammad Shafiq Rohmat, 34 yang bekerja sebagai jurukimpal dan didakwa atas kesalahan sama dipanggil untuk membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 68.7 gram dan Methamphetamine seberat 229.3 gram di sebuah hotel di sini pada 11.40 pagi, 7 Mei 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun dan 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Nor Maslisza Ramli, Muhammad Azhar dan Shazuan ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan menganggap keputusan mahkamah pada hari ini sebagai peluang kedua yang diberikan dalam hidup mereka.
Muhammad Azhar berkata, Alhamdulillah atas kemenangan ini.
“Akhirnya dapat juga saya menyambut kedatangan bulan Ramadan dengan keluarga. Sudah empat tahun berada dalam (penjara), tak sabar juga nak jumpa dua anak saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE