SHAH ALAM – Jarang berkongsi keadaan kesihatan dalam media sosial, penyanyi Elyana mengakui mudah terasa dengan kata-kata netizen sehingga membuat keputusan tidak lagi memuat naik hal peribadi secara berlebihan sebagai mana sering dilakukan sejak mula disahkan menghidap kanser limfoma sejak 2010.
Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal, 39, berkata, pendekatan sebegitu dibuat bagi memastikan emosinya tidak ikut terkesan dengan komen-komen negatif netizen, terutama ketika kondisi kesihatan tidak memuaskan.
“Terasa hati memang ada, tipu kalau kata tiada tetapi saya sedar dahulu saya terlebih berkongsi.
“Ada orang akan ambil positif dan juga ada yang ambil negatif. Bila tengah sakit, saya tidak boleh mengendalikan komen buruk.
“Jadi sekarang, lebih baik saya kongsi apa yang patut sahaja,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Elyana memaklumkan kesihatannya dalam keadaan baik dan sudah menerima takdir yang harus dijalani demi membesarkan dua puterinya.
“Setakat ini kesihatan saya pun tiada masalah, boleh menyanyi lagi. Bila sakit, emosi kadang-kadang ada naik dan turun, saya kena belajar kawal lagi perasaan tersebut.
“Saya sakit dah sangat lama dan sekarang saya sudah berdamai dengan keadaan, ini ujian hidup saya. Jangan fikir sakit, nanti semua benda tak jadi.
Menurut Elyana lagi, selepas disahkan bebas kanser limfoma pada Disember 2021, penyanyi lagu Tapak Sulaiman itu mendedahkan sel penyakit barah berkenaan berpotensi kembali aktif sekiranya tidak meneruskan rawatan kemoterapi seperti saranan doktor.
Kata Elyana, kali terakhir menjalani kemoterapi adalah sekitar tiga tahun lalu sebelum mengambil keputusan berehat daripada meneruskan rawatan selama dua tahun.
“Masa kemoterapi terakhir saya, kira-kira tiga tahun lalu, doktor beri tahu sel kanser sudah tiada tetapi dia sarankan untuk sambung buat kemoterapi.
“Namun saya jenis tak dengar cakap, ingat nak berehat dan tarik nafas dahulu sebab dah terlalu kerap dan lama buat kemoterapi.
“Dua tahun kemudian, saya pergi buat kemoterapi balik. Apabila buat pemeriksaan, doktor nampak sel hidup balik. Nasib baik saya cepat buat kemoterapi,” katanya kepada Kosmo! Online semasa majlis perasmian Festival Ramadan Selangor 2025 di SACC Mall, Shah Alam, semalam.
Bercakap mengenai Festival Ramadan Selangor 2025 (Festira), Elyana akan terlibat dalam membuat persembahan pada bulan Ramadan di dua lokasi iaitu Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall.
Selain Elyana, pengunjung juga akan dihiburkan dengan artis tempatan lain seperti Najwa Latif, Ameliya, Mark Adam, Azzam Shah, Nomad, Syura, Naufal Adzrin, Ani Mayuni, Ronnie Hussin, Bienda, Aweera, Syarifah Zarina, Zafi, Zehra Zambri, Ezlynn, Haiza, Aman Aziz dan Najmi Niery pada setiap hujung minggu.
Festira 2025 dengan tema Tradisi Ramadan Meriah Lebaran berlangsung selama 48 hari bermula 11 Februari sehingga 30 Mac di Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, SACC Mall Shah Alam, Plaza Alam Sentral Shah Alam dan Galeri SA Sentral. – KOSMO! ONLINE