PETALING JAYA – Sedania Innovator Berhad (Sedania) terus memperlihatkan momentum pertumbuhan kukuh setelah mencatatkan hasil suku tahunan tertinggi dalam sejarahnya, berjumlah RM21.7 juta pada suku kedua tahun kewangan 2025 berakhir 31 Disember 2024.
Angka tersebut merupakan peningkatan 45 peratus tahun ke tahun daripada RM14.9 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, mencerminkan kejayaan pengembangan jenama dan perkhidmatan, serta peningkatan penembusan pasaran di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Didorong oleh permintaan yang semakin meningkat untuk produk barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) premium dan penerimaan yang lebih luas terhadap penyelesaian digital patuh syariah, SEDANIA terus mengembangkan pasarannya secara strategik ke rantau dengan pasaran yang bernilai tinggi, khususnya di Eropah dan Asia.
Segmen FMCG kekal sebagai penyumbang utama hasil, mencatatkan pertumbuhan 46 peratus tahun ke tahun kepada RM17.95 juta, didorong oleh permintaan lebih tinggi untuk produk Offspring dan Tanamera dalam pasaran dalam talian dan antarabangsa.
Segmen teknologi konsumer pula meningkat 32 peratus kepada RM3.37 juta, disokong oleh perkembangan perkhidmatan teknologi kewangan.
Pengarah Urusan dan Pengasas, Datuk Azrin Mohd. Noor berkata, rekod hasil suku tahunan Sedania adalah bukti kepada strategi pertumbuhan agresif dalam meningkatkan hasil melalui pelaburan strategik dalam pemasaran, pengembangan antarabangsa, dan kecekapan operasi.
“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kesetiaan jenama, mempercepatkan penembusan pasaran, dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai jenama dipercayai dalam industri FMCG,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Sedania, Tun Md. Raus Sharif berkata, pihaknya berasa gembira dapat mencapai penyelesaian penuh dalam kes timbang tara Offspring Inc. di luar mahkamah baru-baru ini, yang menamatkan dengan sepenuhnya kes berkenaan.
“Dengan penyelesaian menyeluruh ini, kami kini memegang hak jenama Offspring secara mutlak dan global, mengukuhkan penentuan pertumbuhan serta hala tuju masa depan jenama,” katanya. – KOSMO! ONLINE